Teori Cerita Garis Masa
Ini sekadar teori bagi menjawab soalan-soalan berikut:
1. Siapa yang beri Keris Siamang Tunggal kepada Tok Dalang?
2. Kenapa ia berada di dalam simpanan bilik stor Tok Dalang?
3. Bagaimana Tok Dalang dapat mengangkat Keris Siamang Tunggal?
Sebelum itu klik gambar ini untuk melihat rumusan teori cerita ini berpandukan garis masa.
Al-kisah,
Keris Siamang Tunggal, keris ini diwariskan kepada raja sejak turun temurun. Keris misteri ini dijumpai tidak berbilah dan tidak mempunyai sebarang kuasa sakti. Tiada siapa yang mengetahui asal usulnya mahupun sebarang riwayat melainkan dua potong ayat berikut:
"7 petala langit, menyeru namanya. 7 petala bumi, gerun akannya".
Keris ini hanya menjadi alat kebesaran Diraja. Tiada apa yang pelik mengenai keris ini sehingga di saat Jenin dilahirkan, ia mula menampakkan misterinya. Apabila namanya disebut, keris akan bergetar. Bilahnya terkunci bersama sarung dan hanya yang layak sahaja dapat mengangkatnya. Raja meramalkan bahawa malapetaka bakal berlaku di suatu hari nanti.
Genap 10 tahun berlalu, bumi Inderaloka di ambang kemusnahan apabila Raja Bersiong dan tentera-tentera reriangnya datang menyerang Istana Raja. Raja sudah menjangkakan akan kedatangan mereka, lalu menyeru keris warisan zaman berzaman Keris Siamang Tunggal. Namun tanpa disedari langkah Raja Bersiong lebih cepat mengatur serangan.
Kesaktian Keris Siamang Tunggal dapat disempurnakan dengan membaca dua ayat yang ada pada keris itu.
1- Ayat Hulu Keris
2- Ayat Tangisan Bilah
Untuk mencabut keris ini dari sarungnya Ayat Hulu Keris perlu dibaca. Terdapat satu kalimah di hulu keris itu iaitu; "Dua sinar sebagai petanda, hilang gelap, datang cahaya". Dua sinar ini bermaksud orang-orang yang dapat memegang keris ini adalah sinar yang dapat menerangi kegelapan. Di zaman itu, raja dan pewarisnya (Jenin) adalah 2 sinar yang dimaksudkan.
Setelah Ayat Hulu Keris dibaca, barulah keris dapat dipisahkan dari sarungnya dan kesaktian keris mula menunjukkan kuasanya. Sesiapa sahaja yang menyebut namanya, akan rasa gerun dan bumi bergoncang kuat. Inilah sebabnya Raja Bersiong memanggil keris ini sebagai "siamang hhhunggal", tidak berani menyebut namanya dengan sebutan yang betul.
Setelah itu Ayat Tangisan Bilah pula perlu dibaca, tetapi ia menuntut air mata kemaafan bagi menzahirkan bentuk bilahnya secara sempurna seterusnya dapat mengembalikan kesaktian Keris Siamang Tunggal. Walau bagaimanapun upacara ini juga boleh digantikan dengan menggunakan titisan air limau yang didatangkan khas dari Kerajaan Limau. Sejenis buah limau yang jarang ditemui dan tumbuh di atas tanah Kerajaan Limau yang dikatakan mampu mengubati pelbagai penyakit misteri. Sambil dititiskan air limau tersebut ke atas keris yang disangai di atas bara api, ia dapat menzahirkan bilahnya secara sementara, supaya kalimah yang ada di bilah keris dapat dilihat dan dibaca. Ayat Tangisan Bilah adalah seperti berikut: "Dua jiwa menjadi pembela, keris lama bertaut semula, sinar bahagia kembali akhirnya".
Malang sekali, belum sempat bilah keris menjelma sepenuhnya, Raja Bersiong melangkah masuk dan menyerang baginda raja. Titisan air limau tidak mampu mengekalkan bentuk bilah, lalu hilang dengan ajaibnya.
Ketika pertempuran berlaku, Raja mengarahkan Ragam untuk melarikan Jenin. Raja Bersiong menyerang Raja sehingga baginda tertewas. Keris Siamang Tunggal pula yang belum mendapatkan kuasa penuhnya, hanya mampu mencederakan sebahagian muka Raja Bersiong ketika cuba melarikan diri untuk bersembunyi di dunia lain.
"Yang hak akan membela, siamang tunggal akan bersama, air mata merungkai segalanya"
Sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir, Raja berpesan kepada Nujum Pak Belalang "Jagalah yang hak, Keris Siamang Tunggal pasti akan menjelma semula". Selepas kemangkatan baginda, Nujum Pak Belalang cuba melarikan diri bersama orang-orang istana yang lain iaitu Ragam, Jenin dan Mak Deruma. Namun tentera Re Ri dan Ang lebih cepat bertindak menghalang Nujum Pak Belalang seterusnya menangkap beliau untuk dihadapkan kepada Raja Bersiong.
Raja Bersiong mengugut Nujum Pak Belalang dengan ancaman yang keras jika tidak memberitahu mengenai ramalan Keris Siamang Tunggal. Selepas mengetahuinya, Raja Bersiong dengan murka ingin menghancurkan Batu Belah Batu Bertangkup tetapi dihalang oleh Nujum Pak Belalang dengan memberi helah bahawa keris itu akan keluar serta merta dari batu itu jika ia dimusnahkan. Lalu Nujum Pak Belalang diarahkan untuk mengunci pintu alam supaya Keris Siamang Tunggal tidak akan muncul buat selama-lamanya. Nujum Pak Belalang memotong sebahagian rambut baginda raja, lalu berkata kepada Batu Belah Batu Bertangkup, "Ini potongan rambut baginda raja yang dahulunya adil memerintah segala kehidupan di bumi Inderaloka. Selagi rambut ini ada di sini, kekallah dikau bertangkup memelihara rambut raja yang kita sayangi". Setelah itu, Nujum Pak Belalang meletakkan rambut itu di celahan batu-batu tersebut. Raja Bersiong yang menyaksikan peristiwa tersebut masih belum yakin, lantas mengunci mulut Batu Belah Batu Bertangkup dengan akar-akar buluh melalui sihirnya.
Semenjak itu, Batu Belah Batu Bertangkup bersama potongan rambut hanya menjadi lagenda yang tersembunyi di dalam hutan mistik yang penuh dengan tumbuhan aneh dan merbahaya. Raja Bersiong kekal memerintah Kerajaan Baru Inderaloka. Bumi yang subur di sekeliling istana, menjadi batu-batu yang tajam. Jenin pula sepanjang hayatnya hanya diingati sebagai orang yang kuat berangan-angan.
Begitulah pengakhiran ceritanya.
Sementara itu, Keris Siamang Tunggal yang melarikan ke dunia lain, kembali menjadi keris tidak berbilah tanpa sebarang kesaktian. Ia diwarisi dari generasi ke generasi yang lain, bertukar-tukar tangan dan berubah-ubah tempat.
"Keris sakti merungkai rahsia, hilang di dunia tiada jejaknya"
"Kurun demi kurun silih berganti, sehingga ia ditemui kini"
Akhirnya diberikan kepada Tok Dalang yang gemar mengumpul barang-barang antik sebagai simpanan peribadi. Semasa kelahiran Upin Ipin (2 sinar yang hak di dunia yang berbeza), mantera yang ada pada keris tersebut menjadi matang semula. Keris kembali terkunci dan tiada siapa yang mampu mengangkatnya. Semenjak itu, peti keris antik yang berada di dalam bilik stor Tok Dalang kekal tidak terusik sehinggalah Upin Ipin datang ingin membantu menyusun barang-barang di bilik tersebut.
Selepas Upin Ipin terbaca kalimah yang ada di hulu keris itu, keajaiban berlaku. Keris yang tidak berbilah terpisah dari sarungnya, bumi merekah serta merta. Upin Ipin dan kawan-kawan dibawa ke dunia Inderaloka melalui pintu langit. Hal ini sangat tidak diduga oleh Raja Bersiong. Maka benarlah ramalan yang diberitakan oleh Raja kepada Nujum Pak Belalang. Kehadiran Upin Ipin dan kawan-kawan bakal mengubah nasib penduduk Inderaloka dan Mat Jenin khususnya daripada mimpi buruk kepada satu pengharapan baru.
Pelbagai cabaran dan rintangan dilalui oleh Upin Ipin dan kawan-kawannya. Kali ini dengan air mata kemaafan Mak Deruma, Bawang Merah dan Jenin, bilah keris terbentuk dengan sempurna. Lantas Jenin membacakan kalimah-kalimah yang ada pada keris, lalu menjelmalah Sang Siamang Tunggal yang gagah perkasa menentang kejahatan Raja Bersiong.
Setelah tertewas, Jenin bangkit menjadi Raja Jenin. Sebelum Upin Ipin dan kawan-kawan kembali ke dunia mereka, Raja Jenin "memulangkan" semula keris tersebut yang kini kembali tidak berbilah. Mungkin Raja Jenin berpendapat adalah lebih selamat keris itu disembunyikan di dunia lain, sehingga ia diseru untuk kembali.
Adakah Siamang Tunggal akan kembali dalam misi membantu Kerajan Limau yang diancam dengan serangan makhluk bengis? Sama-sama kita nantikan.
Comments