Baca Artikel Ini Sebelum Mohon Kerja Sebagai 3D Modeler - Bahagian Pertama

Jika anda bercita-cita nak jadi artis 3D Modeler, anda perlu tahu beberapa perkara mengenainya. Artikel ini mungkin dapat membantu anda memahami tentang kerjaya yang ingin diceburi. 

Apa itu rekabentuk 3D dan kenapa ia penting dalam dunia animasi? 

Bayangkan nak buat rumah baru di atas tanah sendiri. Selepas lukisan rekabentuk rumah disiapkan, pasti tindakan seterusnya adalah mula membina rumah tersebut dengan batu-bata sehinggalah memasang bumbung. Tidak mungkin rumah yang diidamkan boleh terbina hanya dengan imaginasi. 

Begitulah anologinya dengan rekabentuk 3D atau 3D modeling. Selepas sebuah cerita dibayangkan melalui "storyboard" dan lukisan konsep, segala aset yang akan muncul seperti watak, prop dan persekitaran perlu dibentuk atau "dimodelkan" menggunakan perisian 3D.
Reka bentuk 3D mungkin merupakan titik permulaan "3D" bagi kebanyakan artis animasi dan bahagian penting dalam "pipeline" bagi setiap terbitan animasi 3D. Ia juga memerlukan pemerhatian yang teliti, perancangan dan pelbagai gubahan kompleks ke atas objek 3D melalui perisian yang berbeza. 


Untuk menguasai kemahiran ini, latihan yang konsisten serta pengetahuan am dalam pelbagai bidang contohnya pengetahuan tentang anatomi badan manusia sangat diperlukan untuk memahami bentuk tubuh manusia dengan lebih tepat atau untuk mengetahui susunan tetulang dalam badan.

Kebanyakan objek 3D yang terhasil adalah gabungan dari beberapa objek lain yang disusun mengikut fungsi-fungsinya. Contohnya gasing power generator dari siri Upin Ipin Musim 5 Metromillinium ini.



Ia terdiri dari pecahan model-model yang berasingan kemudian dipasang menjadi satu, diprogram untuk berpusing dan akhirnya diubah 'material'nya supaya nampak realistik.

Pengetahuan teknikal yang mendalam sangat diperlukan bagi menghasilkan objek 3D yang kompleks, seterusnya ia dapat membantu dalam penghasilan kesan-kesan khas atau simulasi. 



Apa pula proses - prosesnya? 

Setiap objek 3D yang akan dipapar perlulah dicipta berdasarkan reka bentuk dari lukisan konsep atau dari pemerhatian dunia sebenar. Proses 3D akan lebih mudah jika digambarkan secara terperinci bermula dari lukisan 2D.

Lukisan konsep.

Perincian seperti personaliti watak, pakaian dan prop sampingan sangat membantu. Setelah lukisan konsep diberikan, juru model akan mula membina watak dan persekitaran 3D mengikut 'timeline' atau tempoh masa yang dipersetujui. Bagaimanapun tugasan pemodelan 3D tidak terhenti di situ. 


Hasil rekabentuk 3D


Tugas seterusnya yang perlu diselesaikan oleh artis 3D adalah memasang tetulang dan melukis tekstur di atas setiap permukaannya. Bayangkan muka watak yang akan keluar di skrin anda hanya berwarna kelabu, sudah tentu ia bukan hasil yang ingin dilihat oleh penonton.

Ya, memasang tetulang bunyi agak kelakar bukan. Namun ia adalah tugasan yang wajib dilakukan jika tidak watak yang dimodel tidak boleh digerakkan oleh artis animator. Sehelai daun sekalipun perlu bertulang jika ingin dilentur seperti ditiup angin. 

Proses ini dipanggil 'Rigging'.

Sungguhpun segalanya telah disiapkan, ketika proses animasi berjalan pasti ada ralat pada model. Oleh itu, setiap model 3D mesti diperiksa dan dioptimum untuk mengelakkan sebarang kecacatan yang disebabkan oleh pergerakan; jika tidak, mereka akan kelihatan sangat ganjil.




Soalan biasa orang akan tanya; "berapa lama nak model satu watak?". Bergantung kepada kemahiran dan perincian dari lukisan konsep, tetapi secara purata model dapat disiapkan dalam 3 hari. Melukis tekstur 1 hari, 'rigging' 2 atau 3 hari menjadikan jumlah bilangannya adalah 7 hari bekerja.

Nak kerja dalam studio atau buat freelance?
Jika anda ingin terlibat dalam bidang rekabentuk 3D, anda mempunyai dua pilihan. Pertama, bekerja dalam industri. Yang kedua adalah bekerja secara bersendirian atau freelance.

Mari saya terangkan sedikit sebanyak kelebihan dan kekurangan untuk kedua-dua pilihan tersebut berdasarkan pengalaman sendiri dan rakan-rakan saya yang lain. Terlebih dahulu anda perlu tahu perbezaan norma kerja antara 2 pilihan ini. 


Bekerja dalam studio ini biasanya melibatkan industri animasi, hiburan, permainan komputer, pengiklanan dan macam-macam lagi. Sudah tentu anda perlu bekerja di dalam studio mengikut waktu kerja dan peraturan-peraturan bekerja yang telah ditetapkan oleh pihak studio.

Manakala bekerja secara freelance pula anda akan lebih bebas bergerak mencari projek sendiri. Kebanyakan masa bekerja anda adalah di rumah. Masalah klien menjadi keutamaan bagi anda, oleh itu anda harus melakukan pelbagai tugas untuk mencapai objektif dan sasaran klien. 

Kelebihan bekerja dalam studio.
1. Lebih cenderung menghasilkan idea-idea baru yang "dynamic" dan peka dengan trend dunia. Ini kerana dalam studio kita bergaul dengan pelbagai manusia yang latar minat terhadap karya juga berbeza seperti karya dari Jepun mahupun dari barat. 

2. Masalah yang membabitkan produksi lebih cepat diatasi. Artis-artis yang bekerja dalam studio tidak hanya berasal dari "Art School" sahaja. Ada yang dari dunia engineering, architecture, komputer sains dan sebagainya. Oleh itu dengan "brainstorming" pelbagai isu dapat diselesaikan bersama.


3. Mendapat kredit untuk setiap projek yang terlibat. Siapa yang tak mahu namanya disebut betul tak? Bekerja dalam studio, menjadi salah satu kepuasan apabila melihat nama kita ditayangkan di dalam senarai kredit. 

4. Studio animasi yang maju dapat menawarkan "job security" yang stabil. Anda juga dibayar secara tidak langsung untuk meningkatkan kemahiran dan ilmu pengetahuan bersama rakan-rakan kerja yang lain. 

Kekurangan bekerja dalam studio.
1. Deadline. Perkataan ini boleh merunsingkan para artis yang bekerja di dalam studio. Kadang-kadang mereka ingin melakukan yang terbaik, tetapi hanya disebabkan tarikh deadline yang singkat, hasil yang diperolehi juga hanyalah suam-suam kuku ("so-so je lah"). 

2. Stress kerja yang mungkin disebabkan oleh deadline, atau mungkin masalah yang berpunca dari rakan kerja yang lain atau mungkin juga melayan kerenah ketua jabatan yang cerewet. Hanya dengan berkomunikasi sahaja lah yang dapat menyelesaikan masalah ini.

3. Ruang kerja yang terhad dan kadang-kadang terasa sesak dengan perangai rakan kerja di sebelah  meja yang tidak mementingkan kekemasan barang-barang peribadinya. Anda akan mudah terasa tiada privasi dan tiada ruang personal. 



Kelebihan bekerja secara freelance.
1. Bebas deadline. Oops, tidaklah terlalu bebas, tetapi lebih fleksibel kerana artis freelance boleh berunding dengan klien berkenaan unjuran masa yang dapat dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak. 

2. Kebanyakan artis freelance lebih gemar menumpu kepada sesuatu projek dalam satu masa tertentu mengikut perancangan yang tersendiri. Artis freelance mempunyai daya berfikir yang luas dan tajam kerana perlu menyelesaikan setiap perkara secara bersendirian.

3. Kos efektif. Artis freelance boleh merancang harga yang sesuai berkadaran dengan masa kerjanya, kos alatan dan kelengkapan bagi menjalankan setiap projek. 'Sebut harga' ini akan dirunding secara terus dengan klien dan sudah tentu hasil pendapatan dari projek itu adalah 100% milik anda.

4. Bebas mengatur ruang kerja dengan kreatifnya mengikut mood dan citarasa sendiri di rumah. Privasi dan ruang personal menjadi satu-satunya faktor yang dapat dinikmati oleh artis freelancer berbanding artis di studio. 



Kekurangan bekerja secara freelance.
1. Sudah tentu risiko bekerja sendiri lebih besar. Ini kerana andalah boss dan juga pekerja. Anda juga yang menentukan segala "Art direction" dan juga perlu sentiasa berhubung dengan klien bagi mengemas kini progress dan final outputnya. 

2. Di antara kesukaran yang diakui oleh artis freelance adalah mengetahui standard yang diguna-pakai oleh industri. Oleh itu, menjadi artis freelance, anda perlu terbuka dan rajin berhubung dengan komuniti antarabangsa supaya tidak ketinggalan dari segi standard mahupun trend secara umum. 

3. Perlu berhadapan dengan kritikan tajam dan memedihkan telinga dari klien. Oleh itu anda perlu sentiasa "presentable" dan mempunyai tahap keyakinan yang tinggi supaya semuanya dalam kawalan anda. Tips dari seorang kawan "lakukan dengan pantas, kerana klien anggap itu satu kualiti".





Comments

Popular Posts